‘Nantikan Keputusan Mahkamah Projek Terowong Dasar Laut’, Mat Hasan Sindir DAP 

LocalPolitics
23 Dec 2025 • 5:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan secara terbuka menyindir DAP dengan berkata, beliau turut menantikan satu lagi keputusan mahkamah untuk ‘diraikan’, membabitkan projek kontroversi terowong dasar laut Pulau Pinang.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Mohamad Hasan yang juga Menteri Luar berkata, beliau tidak sabar menunggu keputusan mahkamah berhubung projek berkenaan.

Sindirnya, terowong itu mungkin akan ‘dirasmikan’ Mahkamah Tinggi tahun hadapan.

“Saya pun sedang menunggu untuk meraikan apabila Mahkamah Tinggi merasmikan Terowong Pulau Pinang, mungkin sekitar pertengahan 2026,” tulisnya.

Kenyataan itu dilihat sebagai sindiran langsung terhadap Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin, susulan hantaran Ahli Parlimen Puchong itu di media sosial yang meraikan keputusan mahkamah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam. 

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan rumah di kediamannya.

Susulan keputusan, Najib akan terus menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang dirujuk Mohamad melibatkan kos RM6.7 bilion, merangkumi pembinaan terowong bawah laut serta beberapa jalan utama.

Projek berkenaan sebelum ini dikaitkan dengan pertuduhan rasuah membabitkan Penasihat DAP, Lim Guan Eng.

Pada Sabtu, Bee Yin memuat naik satu hantaran berbunyi, “Another reason to celebrate this year end,” bersama pautan laporan berita bertajuk “No house arrest for Najib”. 

Hantaran itu mencetuskan kemarahan beberapa pemimpin UMNO yang menyatakan rasa tersinggung, selain mempersoalkan masa depan kerjasama UMNO-DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Hantaran Bee Yin itu dibuat hanya beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibangkitkan, dibincangkan atau diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang berlangsung pada 29 Januari tahun lalu.

Sindiran Mohamad Hasan itu mencerminkan ketegangan yang semakin ketara dalam kalangan parti komponen kerajaan, ketika pemimpin politik saling berbalas kenyataan berhubung keputusan mahkamah, sekali gus memberi kesan terhadap landskap politik negara. - Getaran, 23 Disember 2025