Gimik RX-Z ‘panaskan’ muktamar, Pemuda PAS tekad raih sokongan belia

LocalPolitics
12 Sep 2025 • 3:40 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Dewan utama Kompleks PAS Kedah pagi tadi bergema dengan ngauman enjin tiga motosikal Yamaha RX-Z 135 yang menjadi gimik perasmian Muktamar Pemuda PAS 2025.

Gimik RX-Z di Muktamar Pemuda PAS

Menerusi laporan daripada Malaysiakini, aksi penuh gaya itu telah mencuri tumpuan apabila tiga penunggang RX-Z masuk ke dalam dewan di hadapan ratusan perwakilan serta pemerhati sebelum berhenti di depan pentas utama.

Mereka kemudian membuka topi keledar masing-masing, manakala seorang daripadanya mengelap motosikal berkenaan dengan kain, seolah-olah menonjolkan simbol kebanggaan anak muda.

image is not available

Kredit foto: FB Pemuda PAS Malaysia

Pemuda PAS hampiri penunggang RX-Z dan berborak politik

Ketika itu, beberapa pemimpin utama parti termasuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Pusat, Afnan Hamimi Taib Azzamudden berada di pentas utama.

Tidak lama selepas itu, seorang anggota Pemuda PAS berjaket Alternative Riding Club menghampiri penunggang RX-Z untuk memulakan perbualan mengenai politik semasa.

image is not available

Kredit foto: FB Pemuda PAS Malaysia

Lebih menarik, mereka turut menggunakan aplikasi AI bagi membincangkan hala tuju parti dalam mendekati generasi muda. Gimik ini jelas menjadi simbolik bagaimana Pemuda PAS mahu tampil lebih dekat dengan belia dari pelbagai lapisan.

Dalam ucapan dasarnya, Afnan Hamimi menyeru agar semua ahli Pemuda PAS memperkukuh hubungan dengan belia Malaysia daripada semua segmen.

image is not available

Kredit foto: FB Pemuda PAS Malaysia

PAS dapat 2.4 juta undi dalam PRU-15

Menurut Ahli Parlimen Alor Setar itu, PAS memperoleh 2.4 juta undi pada PRU ke-15, jauh melebihi keanggotaan parti seramai 900,000 orang.

“Cari kumpulan belia yang masih belum kita dekati, terutamanya dalam kalangan 60 peratus yang masih belum menjadi ahli parti kita. Empat puluh peratus lagi sudah menjadi sebahagian daripada kita, memakai jubah, berkopiah dan memahami dasar kita.

“Tetapi enam daripada 10 yang lain belum menjadi ahli parti. Ada antara mereka memakai seluar jeans, berkopiah, ada yang sibuk ‘remp’ ekzos RX-Z mereka, manakala yang lain sibuk di jalan raya mencari rezeki dengan menghantar makanan,” katanya.

Beliau menambah, kelompok anak muda hari ini juga terdiri daripada mereka yang aktif bersiaran langsung di media sosial, menjadi pempengaruh, menghasilkan kandungan digital, serta ada yang terlalu sibuk bekerja sehingga tidak sempat mengikuti isu politik di Parlimen.

Dengan simbolik RX-Z yang dekat di hati ramai belia, Pemuda PAS dilihat mahu menghantar mesej bahawa mereka sedia bergerak seiring dengan gaya hidup generasi muda sambil terus mengekalkan perjuangan parti.