Glasgow 2026: Muhammad Hafizuddin raih emas pada penampilan pertama Sukan Komanwel

28 Jul 2026 • 8:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Glasgow 2026: Muhammad Hafizuddin raih emas pada penampilan pertama Sukan Komanwel
Hafizuddin jelmakan emas keempat negara di Glasgow 2026. Foto: Majlis Sukan Negara

ATLET angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin menghadiahkan pingat emas keempat Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas muncul juara dalam acara lelaki kategori 88 kilogram (kg) di SEC Armadillo, Scottish Event Campus di sini hari ini.

Kemenangan itu mencipta kenangan manis buat atlet kelahiran Perlis berusia 22 tahun itu pada penampilan pertama di Sukan Komanwel apabila muncul juara dengan jumlah angkatan keseluruhan 345kg, merangkumi 162kg bagi acara snatch dan 183kg bagi clean and jerk, dengan kedua-dua catatan itu turut mencipta rekod baharu temasya.

Juara acara lelaki 81kg Sukan Malaysia 2024 itu menamatkan saingan di hadapan pemenang pingat perak Cameron David McTaggart dari New Zealand yang mencatat jumlah angkatan keseluruhan 338kg manakala Angus Doig dari Scotland meraih pingat gangsa dengan 309kg.

Acara angkat berat kini menyumbang kesemua empat pingat emas Malaysia di Glasgow, selain satu pingat gangsa menerusi Irene Jane Henry dalam kategori wanita 48kg.

Terdahulu, Mohamad Aniq Kasdan muncul juara acara lelaki 60kg, diikuti Muhamad Aznil Bidin (lelaki 65kg) dan Muhammad Erry Hidayat dalam kategori lelaki 79kg.

Kejayaan Muhammad Hafizuddin itu terus mengukuhkan kutipan pingat Malaysia ketika kontinjen negara meneruskan kempen dengan beberapa lagi prospek pingat masih beraksi. - Bernama

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved