
KEJAYAAN luar biasa kontinjen negara di Sukan Komanwel Glasgow 2026 diharap menjadi pembakar semangat buat atlet kebangsaan untuk melakar pencapaian lebih cemerlang pada Sukan Asia Aichi-Nagoya yang membuka tirai secara rasmi bermula 19 September hingga 4 Oktober.
Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia, Datuk Sumali Reduan mengakui kejayaan membawa pulang lapan pingat emas di Glasgow meningkatkan keyakinan seluruh kontinjen, namun dalam masa sama turut meletakkan harapan yang lebih tinggi terhadap prestasi atlet di Jepun nanti.
“Saya akui ada sedikit tertekan selepas pencapaian di Sukan Komanwel yang di luar jangkaan. Ia adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan antara yang terbaik pernah kita capai. Sudah pasti ia memberi tekanan kepada kita menjelang Sukan Asia,” katanya selepas mengadakan lawatan ke pusat latihan skuasy negara di Jalan Duta, kelmarin.
Bagaimanapun, Sumali percaya Malaysia masih mempunyai peluang untuk mencipta kejayaan berdasarkan prestasi semasa atlet, selain beberapa sukan yang berpotensi menyumbang pingat.
“Saya yakin dengan atlet-atlet yang kita ada dan sukan-sukan yang telah dipilih untuk bertanding. Kita melihat ada beberapa sukan yang mampu menyumbang pingat dan saya harap momentum daripada Sukan Komanwel dapat diteruskan di Sukan Asia,” katanya.
Menurutnya, skuasy dijangka terus menjadi antara sandaran utama negara berdasarkan pencapaian cemerlang pada edisi Hangzhou 2023 apabila menghadiahkan tiga pingat emas.
“Sudah tentu skuasy adalah antara sukan yang menjadi sandaran kita berdasarkan prestasi mereka di Hangzhou. Pencapaian sebelum ini akan menjadi ukuran, tetapi kita tetap berharap mereka mampu memberikan yang terbaik sekali lagi,” jelasnya.
Ketika ditanya mengenai sasaran, Sumali menegaskan sasaran rasmi kontinjen negara bagaimanapun masih belum dimuktamadkan kerana masih menunggu kelulusan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Kita akan cuba melakukan yang terbaik dan kalau boleh meraih pencapaian yang lebih baik daripada sebelum ini. Saya lihat prestasi atlet di Sukan Komanwel memberikan petanda yang cukup positif untuk kita,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia meraih enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2023, pencapaian yang kini menjadi penanda aras kontinjen negara menjelang saingan di Aichi-Nagoya.
The post Glasgow pacu misi negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya appeared first on Kosmo Digital.






