
BIRMINGHAM: Pelari pecut Britain, Romell Glave melakar kejutan apabila merangkul pingat emas acara 100 meter (m) lelaki Kejohanan Olahraga Eropah selepas menewaskan juara bertahan dua kali, Marcell Jacobs, semalam.
Atlet berusia 26 tahun itu mencatat masa 10.09 saat (s) untuk muncul juara, manakala rakan senegaranya, Jeremiah Azu meraih pingat perak dengan catatan 10.16s dan gangsa milik pelari Jerman, Owen Ansah (10.19s).
Glave menyifatkan kejayaan tersebut sebagai detik istimewa dalam kariernya selepas dia hanya meraih gangsa pada edisi 2024.
“Saya sangat gembira. Segala usaha yang dilakukan untuk datang ke sini akhirnya membuahkan hasil.
“Kami banyak memberi tumpuan kepada permulaan dan saya berjaya melaksanakannya hari ini (semalam). Meningkatkan pencapaian daripada gangsa pada 2024 kepada emas adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Dalam pada itu, Glave turut memuji pencapaian Britain selepas Amy Hunt memenangi acara 100m wanita, kelmarin selain kejayaan Azu meraih perak dalam acara lelaki.
“Ini adalah penguasaan. Penguasaan sepenuhnya,” katanya.
Sementara itu, Jacobs yang merupakan juara Olimpik Tokyo hadir sebagai pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan namun permulaan buruk menyaksikan pelari Itali itu ketinggalan sejak awal perlumbaan.
Keadaan bertambah buruk apabila Jacobs memperlahankan lariannya kira-kira 50m terakhir selepas mengalami masalah pada otot aduktor sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.
“Saya rasa kecederaan ini serius kerana saya sudah merasakan sesuatu sebelum perlumbaan ketika mencuba blok permulaan.
“Saya cuba menolak pada tahap maksimum, tetapi pada 50m saya merasakan sesuatu tertarik dengan kuat. Saya cuba meneruskannya, namun keadaan itu jelas menjejaskan larian saya,” katanya.
Jacobs berkata, keputusan itu lebih mengecewakan selepas dia mempamerkan prestasi cemerlang pada separuh akhir dengan catatan 10.08s.
“Saya berlari dengan sangat baik pada separuh akhir dan ia terasa begitu mudah, seperti berjoging. Sekarang mereka memenangi final dengan 10.09 saat. Ini memang sangat malang.
“Namun, inilah sebahagian daripada sukan. Saya akan cuba memahami sejauh mana seriusnya kecederaan ini dan melihat keadaan untuk baki musim,” katanya. – AFP/UTUSAN
The post Glave dinobat raja pecut Eropah appeared first on Utusan Malaysia.

