
PETALING JAYA – Syarikat produksi, Global Film Station Sdn. Bhd. (Global Station) bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung isu membabitkan dua pelakon, Puteri Balqis dan Zarif Ghazzi yang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.
Menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Instagram mereka hari ini, pihak produksi memaklumkan bahawa mereka mengambil maklum mengenai kebimbangan orang ramai serta laporan polis yang telah dibuat berhubung perkara tersebut.
“Global Station maklum mengenai isu dan kebimbangan yang sedang diperkatakan di media sosial ketika ini.
“Kami memandang serius aspek keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dalam produksi kami selain menghargai pihak yang tampil berkongsi serta memberikan perhatian terhadap perkara ini,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pihak produksi juga sedang mengambil langkah sewajarnya bagi memahami situasi sebenar dan akan menangani perkara berkenaan secara adil serta bertanggungjawab mengikut bidang kuasa mereka.
“Sebagai pihak penerbit, kami bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan bagi membantu sebarang siasatan yang dijalankan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Global Station turut meminta orang ramai menghormati privasi semua pihak yang terlibat serta tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan isu berkenaan dengan mana-mana individu selagi perkara itu belum menemui penyelesaian.
Terdahulu, pihak pengurusan Zarif menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pelakon itu melakukan gangguan seksual terhadap Puteri Balqis, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Menerusi kenyataan rasmi, pihak pengurusan turut menegaskan Zarif tidak pernah melakukan sebarang perbuatan seperti yang didakwa dan kekal dengan pendirian tersebut.
Semalam, Puteri Balqis memaklumkan menerima maklum balas daripada pihak produksi bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan gangguan seksual yang didedahkannya sebelum ini membabitkan seorang pelakon lelaki.
Sebelum itu, pelakon berkenaan meluahkan rasa kurang senang terhadap tindakan seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.
Aqish turut mendakwa mengambil inisiatif bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa pelakon terbabit berulang kali cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.
Terdahulu, Aqish juga meluahkan rasa kurang senang apabila mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya. – KOSMO! ONLINE
The post Global Station sedia beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa appeared first on Kosmo Online.






