
SYDNEY: Pelari Ethiopia, Addisu Gobena dan juara dunia dari Kenya, Peres Jepchirchir, masing-masing menguasai perlumbaan lelaki dan wanita pada Maraton Sydney, hari ini.
Kemenangan itu merupakan kejayaan pertama Gobena dalam siri Maraton Dunia Utama bagi pelari berusia 21 tahun itu, yang menamatkan saingan di tempat kedua tahun lalu.
Bagi Jepchirchir pula, kejayaan tersebut menambah koleksi kemenangannya sebelum ini di Boston, New York dan London.
Gobena membuat gerakan pada kilometer terakhir sebelum menamatkan perlumbaan empat saat di hadapan rakan senegara, Chimdessa Debele Gudeta dengan catatan 2 jam 4 minit 42 saat (s) manakala pelari Lesotho, Tebello Ramakongoana menduduki tempat ketiga.
Larian cemerlang Gobena turut menyaksikan dia memecahkan rekod laluan dengan hampir seminit setengah, manakala juara tahun lalu, Hailemaryam Kiros gagal mengekalkan rentak pada penghujung perlumbaan.
“Saya sangat gembira. Tahun lalu saya menduduki tempat kedua dan saya belajar daripada kesilapan itu.
“Saya pulang ke negara sendiri, memperbaiki kelemahan tersebut dan bekerja keras untuk melakukan persembahan terbaik serta memecahkan rekod hari ini,” kata Gobena.
Gobena sebelum ini merupakan atlet lontar lembing sebelum beralih kepada acara larian jarak jauh dan mula mendapat perhatian antarabangsa selepas memenangi Maraton Dubai 2024.
Dalam perlumbaan wanita, Jepchirchir tidak menghadapi banyak masalah untuk menguasai saingan apabila melintasi garisan penamat di hadapan Sydney Opera House dengan catatan 2:18:31s.
Dia menamatkan perlumbaan hampir empat minit di hadapan rakan senegara, Irine Cheptai manakala pelari Ethiopia, Shure Demise Ware, di tempat ketiga.
“Saya sudah bersedia, tetapi ketika datang ke sini saya tidak pasti sama ada saya mampu menang. Jadi, saya sangat gembira dengan kejayaan ini.
“Laluannya sangat berbukit. Separuh pertama perlumbaan sangat sukar, tetapi separuh kedua sedikit lebih baik. Namun, ia tetap bukan perlumbaan yang mudah,” kata Jepchirchir. – AFP
The post Gobena, Jepchirchir ungguli Maraton Sydney appeared first on Utusan Malaysia.


