Golden Pharos dan GK Vest bekerjasama bangunkan loji biochar di Dungun manfaatkan sisa hutan

08/08/2025 - 09:29
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA TERENGGANU 8 Ogos – Golden Pharos Bhd syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, sedang mengorak langkah dalam industri lestari menerusi pembangunan sebuah loji pengeluaran biochar di Dungun.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Golden Pharos memaklumkan syarikat kejuruteraan tempatan, GK Vest Sdn Bhd telah dilantik sebagai rakan pelaksana dan pengendali projek bagi loji tersebut, yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 0.48 hektar milik anak syarikat milik penuhnya, GP Plywood Sdn Bhd.
Biochar merupakan sejenis arang yang dihasilkan daripada bahan organik seperti sisa kayu melalui proses pirolisis.
Ia digunakan secara meluas dalam sektor pertanian dan pengurusan karbon kerana keupayaannya memperbaiki struktur tanah, mengekalkan kelembapan serta menyerap karbon untuk tempoh jangka panjang.
Projek ini akan dijalankan secara perkongsian hasil, dengan GK Vest layak menerima 80% daripada hasil bersih, manakala GP Plywood akan menerima baki 20% sepanjang tempoh perjanjian.
“Susunan perkongsian hasil ini mungkin disemak semula secara berkala berdasarkan perubahan keadaan operasi, kewangan serta peraturan semasa tempoh projek,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian, GP Plywood akan memudahkan permohonan dan pemerolehan lesen serta permit berkaitan projek selain menyediakan kawasan dan kemudahan operasi.
Sementara itu, GK Vest bertanggungjawab menyediakan semua pembiayaan yang diperlukan untuk perbelanjaan modal dan operasi, memastikan loji tersebut bersedia untuk beroperasi selewat-lewatnya pada 31 Ogos 2026, serta mengurus program karbon termasuk penjualan produk alam sekitar berkaitan.
Lembaga Pengarah GPharos berpandangan kumpulan mempunyai potensi besar dalam penghasilan biochar memandangkan aksesnya kepada lebihan hasil hutan daripada anak-anak syarikat, yang sebelum ini kurang dimanfaatkan.
“Dengan bekalan balak dan sisa hutan yang tersedia, kumpulan berada pada kedudukan kukuh untuk menembusi pasaran domestik dan antarabangsa bagi produk biochar, sekali gus mewujudkan peluang perniagaan yang mampan dan menguntungkan,” jelasnya.
Golden Pharos kini dimiliki 68.94% oleh kerajaan negeri Terengganu menerusi Terengganu Incorporated Sdn Bhd (60.80%) dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (8.15%).- DagangNews.com
standard

