
KENINGAU: Kejohanan Golf Buaya Tembaga Siri Keempat, LTK Master Inaugural Golf Classic, dijangka berlangsung sengit dan meriah apabila menghimpunkan peminat serta pemain golf sempena sambutan Jubli Tembaga 10 Tahun penubuhan Kelab Buaya Tembaga bagi tempoh 2016 hingga 2026.
Kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 14 November 2026 di TNGC itu bakal menjadi acara istimewa buat kelab berkenaan dalam meraikan sedekad penubuhannya.
Kapten Kelab Buaya Tembaga, Frankie Felix, berkata beliau amat teruja dengan penganjuran siri keempat itu yang disifatkan sebagai satu pencapaian bermakna selepas kejayaan penganjuran siri ketiga yang berlangsung meriah di Keningau baru-baru ini.
Menurutnya, sambutan menggalakkan daripada ahli kelab membuktikan hubungan persahabatan dan semangat kebersamaan yang terus kukuh.
Kejohanan kali ini dijangka lebih menarik dengan penyediaan pelbagai hadiah lumayan menerusi cabaran Hole-In-One, termasuk 10 longgokan bata tajaan Win Hardware, dua tiket perjalanan ke Batam tajaan 76 Brothers serta hadiah wang tunai berjumlah RM5,000.
Selain memberi tumpuan kepada persaingan di padang golf, penganjur turut menyediakan pengisian hiburan bagi memeriahkan sambutan ulang tahun berkenaan.
Antara yang menjadi tarikan ialah persembahan live band seterusnya penampilan khas artis tempatan dari Tambunan, Julius Gudok.
