Golongan pesara turut terdedah sasaran sindiket penipuan peluang pekerjaan

26 May 2025 • 2:10 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KANGAR, 26 MEI: Golongan pesara yang mencari pekerjaan sambilan selepas bersara, turut terdedah sebagai sasaran sindiket penipuan peluang pekerjaan atau job scam, disebabkan simpanan persaraan mereka yang menarik minat pihak tidak bertanggungjawab.

Tanpa memberikan statistik kes terperinci, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Azman Mohd Yusof berkata pihaknya mendapati, terdapat kes penipuan peluang pekerjaan itu melibatkan mangsa yang terdiri daripada golongan berkenaan.

“Kadangkala mereka ini ada simpanan, bersara pada usia 55 atau 60 tahun dan masih ingin bekerja. Situasi ini diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan kerja bergaji tinggi, namun mensyaratkan bayaran pendahuluan atau caj tertentu.

“Apabila terlalu yakin atau tidak menyemak kesahihan tawaran itu, mereka akhirnya terperdaya. Ini antara taktik yang digunakan sindiket untuk memperdaya golongan pesara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hindari Diri Dari Menjadi Mangsa Penipuan Peluang Pekerjaan, di sini hari ini.

Azman berkata sindiket penipuan itu, menggunakan pelbagai saluran termasuk media sosial dan laman sesawang palsu, yang menampilkan tawaran kerja dengan pakej gaji lumayan untuk meyakinkan mangsa.

“Kadang-kadang maklumat yang dipaparkan nampak sah, tetapi sebenarnya tidak. Kita khuatir jika tiada kesedaran, lebih ramai golongan rentan seperti pesara akan menjadi mangsa. Sebab itu kementerian ambil langkah berterusan memberi pendedahan termasuk melalui siri jelajah seperti seminar hari ini,” katanya.

Seminar anjuran Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) itu, disertai lebih 200 peserta yang terdiri daripada pelajar, pencari kerja serta masyarakat awam yang ingin memahami kaedah mengenal pasti taktik penipuan kerja.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved