Ramai graduan masih menganggur, MBM tak sokong had persaraan 65 tahun

LocalPolitics
25 May 2025 • 3:27 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Majlis Belia Malaysia (MBM) menolak cadangan menaikkan umur had persaraan kepada 65 tahun, dengan alasan ia akan menyempitkan lagi peluang pekerjaan untuk anak muda di negara ini.

Had persaraan 65 tahun akan buat ramai anak muda menganggur

Memetik laporan dari Buletin TV3, Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid menyatakan langkah itu tidak sesuai dan boleh memberi implikasi sosioekonomi negatif terhadap pembangunan belia.

“Sebagai contoh, peningkatan usia persaraan dari 55 ke 60 tahun pada 2013 dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu kepada graduan dan pencari kerja muda,” ujarnya.

image is not available

Had persaraan 65 tahun, graduan masih ramai tiada kerja

Menurut beliau, lebih 300,000 graduan dilahirkan setiap tahun, namun ramai masih belum berjaya mendapatkan pekerjaan tetap.

Jika usia persaraan dilanjutkan, kadar penggantian pekerja dalam pasaran buruh akan berkurang dan menjejaskan peluang generasi muda untuk membina kerjaya.

“Meningkatkan umur persaraan bukan sekadar soal kemampuan bekerja, tetapi juga soal keadilan ekonomi dan hak generasi muda untuk memperoleh peluang yang saksama,” katanya lagi.

image is not available

Cadangan terlalu umum

MBM turut menegur cadangan Datuk Seri Azalina Othman Said itu kerana disifatkan terlalu umum dan lebih cenderung kepada pengalaman penjawat profesional.

Sedangkan, tidak semua warga emas berada dalam keadaan fizikal yang membolehkan mereka terus bekerja secara efektif.

“Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (2021), satu daripada tiga individu berusia lebih 60 tahun menghadapi kekangan dari segi keupayaan fizikal,” jelasnya.

image is not available

Artikel lain: Masih aktif & kelihatan muda, Azlina cadang had usia persaraan dinaikkan ke 65 tahun

MBM menyeru agar sebarang dasar berkaitan usia persaraan dibuat dengan mempertimbangkan keseimbangan antara tenaga kerja berpengalaman dan peluang kepada generasi muda, demi menjamin masa depan ekonomi yang lebih inklusif.

Sumber: Buletin TV3