Google Akan Menghalang Aplikasi Pinjaman Wang Dari Mengakses Media Peranti

TechnologyDigital
7 Apr 2023 • 11:17 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kebelakangan ini kita dapat melihat bahawa terdapat banyak aplikasi mudah-alih yang juga hadir dengan fungsi BNPL dan juga pinjaman kewangan yang membolehkan pengguna untuk membeli barang-barang secara atas-talian dengan lebih mudah.

Walaupun perkara ini dilihat sangat berguna, terdapat insiden dimana peminjam yang gagal membayar pinjaman tersebut telah diganggu oleh pemberi pinjaman. Banyak insiden juga telah dilaporkan bahawa aplikasi-aplikasi ini dilihat telah mengakses media dan kenalan peminjam melalui peranti-peranti mereka.

Oleh kerana ini, Google dilihat telah menghalang aplikasi-aplikasi pinjaman wang ini daripad mengakses kandungan-kandungan seperti ini, tanpa pengecualian. Google telah mengemaskini laman polisi mereka baru-baru ini, dan larangan terbaru ini akan berkuatkuasa pada 31 Mei 2023 kelak.

Aplikasi-aplikasi kewangan termasuklah aplikasi pelaburan kewangan, kriptowang, dan yang memberi nasihat kewangan termasuklah aplikasi pelaburan robo juga termasuk dalam kemaskini polisi terbaru ini.

Dalam pada itu, Google juga mengatakan bahawa aplikasi-aplikasi kewangan ini haruslah menerima pengesahan untuk beroperasi daripada kerajaan tempatan sebelum dimuat-naik ke Google Play Store.

Malah, dalam pengumuman ini, beberapa negara seperti India, Indonesia, Filipina, Pakistan, Kenya dan Nigeria diberi penekanan dalam isu ini, kerana terdapat banyak laporan yang diterima oleh Google mengenai aplikasi pinjaman kewangan yang digunakan di negara-negara tersebut.