Google baru sahaja memperkenalkan Fitbit Edge iaitu penjejak kesihatan baharu yang direka untuk memudahkan pengguna memantau kecergasan harian sama ada individu biasa mahupun atlet.

Fitbit Edge hadir dengan kerangka aluminium kitar semula setebal 11.5mm bersama butang sisi fizikal baharu untuk kawalan lebih praktikal ketika bersenam. Antara sorotan utama termasuk sokongan ECG, paparan Hybrid OLED yang lebih besar, GPS terbina serta bateri yang mampu bertahan sehingga tujuh hari.

Ia turut menyokong lebih daripada 50 jenis aktiviti dengan maklumat masa nyata termasuk sasaran kelajuan untuk pelari, zon kadar denyutan bagi latihan intensiti tinggi, serta catatan masa pecahan untuk latihan trek. Cip GPS generasi baharu yang digunakan diiklankan mampu menawarkan ketepatan sehingga 40% lebih baik manakala altimeter terbina membolehkan pengguna menjejak perubahan ketinggian semasa aktiviti seperti larian bukit atau latihan tangga.

Selain itu, Fitbit Edge juga dilengkapi dengan ciri Google Health Guardian yang berfungsi memantau trend kesihatan seperti tekanan darah, kepekaan terhadap insulin, serta memberi amaran sekiranya kadar denyutan jantung berada di luar julat normal. Bagi pengguna Google Health Premium, mereka boleh mendapat akses kepada Health Coach yang boleh menyesuaikan pelan kecergasan serta menyediakan panduan untuk dibincangkan bersama doktor.

Untuk pemulihan menyeluruh, Fitbit Edge menggabungkan bacaan suhu kulit, tahap tidur dan kadar denyutan jantung bagi menghasilkan skor pemulihan setiap pagi. Ia turut kalis air sehingga 50 meter, dilengkapi bateri boleh diganti, serta direka bentuk modular yang menjadikannya penjejak kecergasan pertama Google yang boleh dibaiki. Fitbit Edge dijual pada harga USD179.99 (~RM735) seunit.
Sumber: Google Fitbit Edge

