Gmail telah memulakan operasi sejak 2004 dan ramai mengambil nama akaun yang mirip dengan nama yang samaran yang digunakan di MIRC dan bukannya nama sendiri. Ini berlaku kepada saya sendiri dan selepas lebih 20 tahun nama akaun Gmail ini tidak serasi untuk kegunaan profesional. Ramai berada dalam situasi ini dan kini Google dilaporkan akan membenarkan nama akaun Gmail ditukar.

Dokumen mengenai kemampuan mengubah nama akaun Gmail ini muncul di laman rasmi Google Support tetapi hanya dalam versi Hindi. Ini mungkin petanda awal ia akan dilancarkan dalam masa terdekat di India sahaja terlebih dahulu. Pengguna boleh memilih nama baharu yang masih belum diambil oleh orang lain. Setiap akaun juga hanya dibenarkan menukar nama akaun sebanyak 3 kali.
Selepas nama akaun ditukar, emel akan dihantar ke inbox akaun lama dan akaun baharu. Data yang disimpan dalam akaun lama seperti gambar, mesej dan emel yang dihantar ke alamat emel lama tidak akan terjejas. Log masuk akaun ke perkhidmatan Google boleh dilakukan menggunakan nama akaun lama dan baharu.
Dengan ini anda tidak lagi perlu membuka akaun Gmail baharu untuk menggunakan nama yang anda rasakan lebih sesuai kerana kini sudah dewasa. Ia juga lebih ringkas kerana semua langganan dan perkhidmatan yang menggunakan nama akaun lama tidak perlu didaftarkan sekali lagi menggunakan nama akaun baharu.




