
Google kini menjadikan aplikasi utamanya lebih mudah dikawal dengan arahan suara melalui Gemini Audio. Teknologi ini membolehkan pengguna memberi arahan lisan untuk mengurus urusan harian tanpa bergantung sepenuhnya pada teks yang ditaip. Model Gemini Audio ini mula dipratonton semasa acara I/O tempoh hari, dan kini ditawarkan terlebih dahulu dalam tiga aplikasi utama iaitu Gmail, Docs dan Keep.

Melalui Gmail Live, pengguna boleh mencari dan mengurus emel dengan arahan suara, lalu sistem memberikan jawapan berdasarkan kandungan emel berkaitan. Dalam Docs Live pula, suara berfungsi sebagai penulis bersama yang membantu menyampaikan idea secara spontan sebelum disusun oleh Gemini menjadi draf yang lebih teratur. Sementara itu, Keep Live membolehkan nota suara ditukar secara automatik kepada senarai atau senarai semak, contohnya menyebut barangan yang diperlukan dan terus menghasilkan senarai lengkap.

Buat masa ini, Gmail Live dan Docs Live tersedia di iOS serta Android untuk pelanggan Google AI Plus. Keep Live pula dilancarkan terlebih dahulu di Android bagi pengguna Pro dan Ultra. Untuk pelanggan Enterprise atau Workspace, ciri ini akan ditawarkan dalam masa terdekat.
Sumber – Google Press Room



