Google ialah enjin carian paling popular di internet, tetapi tahukah anda bahawa syarikat teknologi tersebut masih lagi membayar sejumlah besar wang untuk menjadi enjin carian lalai di pelbagai jenis platform.
Apabila disoal di mahkamah oleh pihak Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, Prabhakar Raghavan, eksekutif senior di Google yang bertanggungjawab mengenai pengiklanan dan carian mengesahkan bahawa Google membayar sebanyak $26 bilion (~RM123 bilion) kepada pelbagai pihak untuk memastikan Google kekal menjadi enjin carian lalai bukan sahaja di pelbagai peranti, tetapi juga beberapa pelayar web pada tahun 2021.

Menurut Prabhakar, jumlah yang dibayar oleh Google untuk penggunaan enjin carian ini telah meningkat tiga kali ganda sejak 2014. Menurut laporan Reuters, pendapatan daripada pengiklanan carian Google dilaporkan berjumlah $146.4 bilion pada tahun 2021, dan jumlah pembayaran untuk menjadi enjin carian lalai merupakan perbelanjaan terbesar pada tahun tersebut.
Pertanyaan ini adalah sebahagian daripada perbicaraan mahkamah tentang anti-pertandingan, dimana Google dilihat menggunakan kelebihan pasaran untuk kekal menjadi enjin carian nombor satu.
Menariknya, Google mengatakan bahawa mereka tidak mahu mengumumkan butiran jumlah yang dibayar untuk perkara ini kerana risau mengenai kebolehan mereka untuk berunding dengan syarikat-syarikat untuk memastikan mereka kekal menggunakan Google sebagai enjin carian utama.

![Ah Long Di Johor Minta Hutang Pakai Sepanduk & Pembesar Suara, Siap Guna 3 Bahasa [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)
