Google Menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Nuklear Bersama Kairos Power

TechnologyBusiness & Finance
19 Aug 2025 • 4:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ia bukanlah satu rahsia bahawa diantara isu yang dilihat membelenggu kemajuan teknologi kecerdasan buatan ialah bekalan kuasa yang bersih dan mencukupi. Oleh kerana itu, sejumlah besar syarikat teknologi sekarang telah mula melihat kepada bekalan tenaga nuklear untuk keperluan mereka.

Google baru-baru ini dilaporkan telah menandatangani perjanjian pembelian bekalan tenaga nuklear bersama syarikat bekalan tenaga nuklear Kairos Power dan Tennessee Valley Authority (TVA) untuk membekalkan tenaga elektrik bersih kepada pusat-pusat data Google yang terletak di Tennessee dan Alabama.

image is not available

Loji tenaga nuklear ini, yang dinamakan Hermes 2 akan dibina di Oak Ridge Tennessee, dan sebelum perjanjian pembelian tenaga dengan Google ini adalah merupakan loji tenaga nuklear yang dibangunkan untuk tujuan demonstrasi dan penyelidikan tenaga nuklear.

Pada asalnya, loji tenaga Hermes 2 ini sepatutnya hanya menghasilkan 28MW bekalan tenaga elektrik. Tetapi dengan perjanjian bersama Google dan TVA, loji tenaga nuklear ini akan membekalkan 50MW tenaga elektrik yang akan disambungkan secara terus ke grid tenaga elektrik TVA yang kemudiannya kan dibekalkan ke pusat data Google yang dikatakan sebelum ini.

Loji tenaga nuklear Hermes 2 ini akan beroperasi bermula 2030, dan dijangka akan meningkatkan output pengeluaran kuasa setinggi 500MW menjelang tahun 2035.