Google sedia menyertakan ciri dinamakan “Find My Device” pada peranti Android, sekaligus memudahkan anda menemui kembali peranti anda yang tersilap letak atau hilang dengan mudah. Selepas sekian lama, kini Google memilih untuk menjenamakan semula Find My Device kepada nama baharu, Find Hub.

Dengan penjenamaan ini, Find Hub menyasarkan untuk menjadi pusat sehenti untuk menemui pelbagai barangan anda, dan tidak terhad untuk telefon atau tablet sahaja. Untuk tujuan ini juga, Find Hub akan menyokong penjejakkan UWB (ultra wideband) yang lebih jitu dalam mengetahui lokasi. Selari dengan ini juga, Google bekerjasama dengan sejumlah rakan kerjasama, yang akan mengintegrasikan sokongan untuk Find Hub, dan memantau barangan anda melaluinya. Ini termasuk beg, bagasi, tag Bluetooth, dan sebagainya.
Google turut mengatakan kelak Find Hub turut akan menyokong integrasi sambungan satelit, memastikan anda kekal berhubung walaupun tiada sambungan selular. Dan untuk tahun hadapan, Google menyasarkan boleh berkongsi lokasi sesuatu tag dibawah Find Hub bersama rakan dan ahli keluarga lain dengan mudah, untuk membantu dalam pemantauan dan pencarian barangan.

