Magic Editor ialah ciri suntingan pantas pada Google Photos yang boleh memadam atau menambah objek dengan pantas menerusi bantuan kecerdasan buatan (AI). Bermula minggu ini, Google Photos akan mula membenamkan tera air SynthID dalam data meta pada setiap gambar yang telah dimanipulasi menggunakan Magic Editor.

Tera air boleh dibaca menggunakan Google Photos dan perisian lain yang boleh membaca data meta gambar. Ini ialah satu usaha daripada Google untuk membolehkan orang ramai melihat sendiri keaslian gambar yang dilihat. SynthID dilancarkan oleh Google pada tahun 2023 sebagai cara menentang masalah imej palsu yang semakin serius di atas talian. Ia kemudiannya turut digunakan bagi menandakan teks yang turut dijana menggunakan AI generatif tahun lalu.
