Tahun ini, penggunaan Ultra HDR mula menjadi ikutan oleh kebanyakan pengeluar peranti Android. Selepas Samsung menawarkannya pada Galaxy S24 Ultra dan Google memperkenalkannya pada Pixel 8 dan Pixel 9, pengeluar lain seperti Nothing, OnePlus dan ramai lagi turut ikut sama. Menjadi masalah adalah apabila imej ingin disunting dengan Google Photos, format HDR tadi akan hilang dan imej menjadi SDR. Masalah ini kini telah dibaiki.

Dalam kemas kini terbaru Google Photos, suntingan imej Ultra HDR tidak lagi akan melakukan salinan versi SDR. Setiap suntingan akan kekal menyimpan data-data HDR yang sepatutnya dan imej akan kekal nampak cantik. Untuk tahu imej mana menyokong Ultra HDR, paparan pada skrin peranti anda akan membuatkan imej dengan bahagian terdedah banyak pada cahaya menjadi lebih terang sementara bahagian lain tidak.

Google menggunakan AI untuk meramal data HDR baharu pada imej yang telah disunting kemudian menggabungkannya semula dengan data asal. Imej-Imej yang disunting dengan ciri AI seperti Magic Eraser dan sebagainya turut boleh mengekalkan kesan HDR. Buat masa ini hanya pengguna Google Pixel 8 dan ke atas sahaja boleh memanfaatkannya melalui Google Photos.

