Google Pixel 9, Pixel 9 Pro Dan Pixel 9 Pro XL Melepasi Pengesahan SIRIM Di Malaysia

TechnologyDigital
1 Aug 2024 • 9:25 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Antara jenama telefon pintar yang ramai nantikan kehadirannya di Malaysia adalah Google, iaitu Pixel. Sejak Pixel kali pertama dilancarkan pada tahun 2017 dan kini sudah mempunyai lapan generasi, ia masih tidak ditawarkan di sini. Kali terakhir telefon Google tiba di Malaysia adalah di bawah siri Nexus. Berita baik kepada mereka yang mahukan Pixel secara rasmi, kerana tiga Pixel 9 telah tersenarai di laman SIRIM.

image is not available

Tiga peranti tersenarai adalah GUR25, GEC77 dan GZC4K iaitu Pixel 9, Pixel 9 Pro dan Pixel 9 Pro XL. Ini adalah kali pertama peranti Pixel yang belum dilancarkan tersenarai di pangkalan data SIRIM. Sayang sekali, tiada indikasi yang Pixel 9 Pro Fold akan dijual di Malaysia.

image is not available

Spesifikasi yang telah tertiris menyenaraikan Pixel 9 akan dilengkapi dengan skrin 6.3″ Actua Display, dijana cip Tensor G4, memori sebesar 12GB, kamera utama 50+48MP dan kamera hadapan pula sebesar 10.5MP. Kemudian Pixel 9 Pro dan 9 Pro XL pula dilengkapi skrin 6.3″ dan 6.8″ Actua Display, dijana cip Tensor G4, memori sebesar 16GB, kamera utama 50+48+48MP dan kamera hadapan pula sebesar 42MP.

Dikhabarkan siri Pixel 9 ini mungkin akan dijual oleh Switch di bawah Urban Republic. Harga jualan dan tarikh ia akan dijual masih tidak pasti lagi. Siri Pixel 9 akan dilancarkan pada 14 Ogos akan datang, sama-sama kita nantikan.