Di kebanyakan acara pelancaran teknologi, pameran atau acara sukan, kadangkala pengeluar peranti akan membuka reruai tersendiri atau terus mengadakan jerayawara. Ini kerana mereka biasanya menjadi penaja bagi acara tersebut. Google baru-baru ini bekerjasama dengan perlawanan tenis terbuka Australian Open.

Di acara ini, Google telah membuka reruai fizikal Pixel Studio pertama. Di dalamnya, wakil Google yang dikenali sebagai jurulatih akan membimbing pengunjung menggunakan ciri AI unik pada Pixel 9 Pro. Antara yang ditekankan adalah Magic Editor yang terbina di dalam Google Photos.

Selain ciri suntingan AI, Magic Eraser turut menjadi fokus utama untuk membuang objek tidak diingini dalam gambar. Jurulatih Google akan mendedahkan mengenai penggunaan Gemini seperti menjadikan Gemini Live sebagai kawan maya dan juga penggunaan Circle to Search.
Reruai Google Pixel Studio ini akan berada di Rod Laver Arena, 200 Batman Ave, Melbourne VIC 3004, Australia dari 12 Januari ke 26 Januari. Google turut dijangka akan mempunyai reruai lebih kurang sama di acara CES 2025 dan MWC Barcelona 2025.





