Selain telefon pintar, pihak Google juga turut membawa masuk secara rasmi jam tangan pintar mereka secara rasminya, sekaligus membolehkan para pengguna mendapatkan jam tangan Google Pixel Watch 3. Dua variasi saiz ditawarkan, iaitu 41mm dan juga 45mm.

Google Pixel Watch 3 hadir dengan sistem operasi WearOS 5, selain turut menyertakan sejumlah ciri-ciri kecergasan yang dikuasakan oleh Fitbit. Google mengatakan kedua-dua variasi jam tangan pintar ini menyertakan panel pada kadar kecerahan mencapai 2000-nits, selain rekaan bingkai yang agak nipis untuk menawarkan rekaan skrin lebih luas berbanding sebelum ini.
Skrin jam tangan pintar ini juga boleh menyesuaikan kadar segar semula daripada 60Hz kepada 1Hz apabila dalam mod AOD (Always On Display). Seperti produk Google lain, ciri kecerdasan buatan turut disertakan, membolehkan ia mempelajari corak tidur sekaligus mengaktifkan terus Bedtime Mode serta mematikan semua notifikasi.

Jam tangan pintar ini menawarkan masa penggunaan selama 36 jam melaluinya. Pixel Watch 3 turut menyertakan ciri dinamakan Loss of Pulse Detection, yang mana boleh mengenal pasti kadar denyutan nadi, dan membuat panggilan kecemasan sekiranya ia terhenti. Namun, ciri ini akan ditawarkan di Eropah sahaja buat peringkat permulaan ini.
Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkan Google Pixel Watch 3 ini pada harga RM1849 untuk versi 41mm, dan RM1999 untuk versi 45mm. Kedua-dua model adalah hanya versi WiFi sahaja, dan ditawarkan bermula 10 September.

