Google kini telah pun memfailkan saman ke atas SerpApi, atas kesalahan kerana mencuri data dan kandungan carian Google, sekaligus menjual ia kepada pihak pembangun perkhidmatan kecerdasan buatan janaan.

Google mengatakan hasil carian mereka turut mempunyai kandungan yang dilesenkan, terutamanya untuk ringkasan jawapan, pada Google Maps, Google Shopping dan beberapa yang lain. Google tidak menyatakan nilai saman terhadap SerpApi ini, dan turut memohon arahan mahkamah untuk menghalang SerpApi daripada terus mencuri kandungan mereka.
Menyentuh mengenainya, SerpApi mengatakan mereka menawarkan informasi yang sama seperti pengguna biasa melayari hasil carian Google tanpa log masuk. SerpApi turut menekankan yang mana saman Google ini akan mengehadkan persaingan pihak ketiga dalam pembangunan produk seperti kecerdasan buatan janaan. Sebelum ini, beberapa perkhidmatan dikatakan menggunakan perkhidmatan SerpApi, termasuk OpenAI.



