Produk Apple Certified Refurbished cukup popular kerana menawarkan produk berkualiti dan kategori mercu pada harga mampu. Ia hanyalah produk terpakai yang pakar Apple pulihkan semula menjadi seakan baru. Kategori ini mula muncul di aplikasi Apple Store Malaysia tahun lepas, namun selepas Apple Store dibuka ia hilang dari radar. Terbaru, Google pula yang mula menawarkan Pixel yang telah dipulihkan.

Melalui Google Store di Amerika Syarikat, peranti terpakai yang telah dipulihkan ini dijual pada harga mencapai 40% lebih murah. Google menyatakan mereka semak dengan teliti pada bahagian skrin, tubuh peranti dan bateri dengan memastikan ia berfungsi dengan baik tanpa sebarang cacat-cela dan kerja-kerja membaiki hanya dengan alat ganti asli. Menariknya, peranti turut akan dikemaskini ke versi Android terkini sebelum dihantar kepada pengguna dan kabel turut akan diberikan. Google turut menyediakan waranti selama satu tahun untuk setiap pembelian.

Setakat ini, Google hanya menawarkan model Pixel 7 Pro, Pixel 7, Pixel 6 Pro, Pixel 6, dan Pixel 6a. Harga jualan adalah bermula dari $249 (~RM1,088) untuk Pixel 6a dan boleh mencapai sehingga $679 (~RM2,968) untuk Pixel 7 Pro 256GB. Buat masa ini, ia terhad untuk Google Store di Amerika Syarikat sahaja. Di Malaysia, Pixel terpakai banyak dijual di laman e-dagang pada harga lebih murah. Misalnya Pixel 6a set lengkap dengan jaminan satu tahun adalah sekitar RM800 dan Pixel 7 Pro 256GB pula adalah sekitar RM1,850.


