Google sebelum ini telah menyatakan mereka akan menamatkan sokongan kuki pihak ketiga pada pelayar web Google Chrome bagi meningkatkan privasi pengguna pelayar web popular ini. Pada awalnya, ia dirancang untuk dilaksanakan seawal 2022 sebelum ditangguh ke 2023 dan sekali lagi ditangguhkan ke 2025. Semalam Google akhirnya mengesahkan pelan menamatkan sokongan kuki pihak ketiga kini tidak lagi akan diteruskan.

Sebaliknya Google memberikan tumpuan kepada Privacy Sandbox pula untuk meningkatkan privasi pengguna tetapi pada waktu yang sama mengekalkan ekosistem pengiklanan sedia ada untuk penerbit, perniagaan, dan pelanggan. Privacy Sandbox yang menghalang penjejakan dan mengenalpasti data spesifik pengguna sudah diperkenalkan sejak 2022.
Keputusan mengekalkan kuki pihak ketiga diambil selepas mengambil maklum balas daripada Pihak Berkuasa Persaingan dan Pasaran (CMA) UK, Pejabat Pesuruhjaya Maklumat (ICO), penerbit, pembangun web dan kumpulan standard, masyarakat sivil dan peserta dalam industri pengiklanan.

