Google TV Streamer telah dilancarkan hari ini lebih awal daripada ramalan ia dilakukan serentak dengan pelancaran siri Pixel 9 pada 14 Ogos depan. Seperti maklumat yang telah tertiris sebelum ini, Google TV Streamer ialah kotak TV baharu menggantikan Google Chromecast with Google TV yang dilancarkan pada tahun 2020.

Rekaannya kini membolehkan ia diletakkan di atas permukaan meja dan tidak lagi tergantung di belakang TV. Kotak TV berbentuk bujur ini juga hadir dengan port LAN terbina buat pertama kali. Bagi pengguna ekosistem internet berhubung (IoT) di rumah ia menyokong Google Home, Matter dan Threads.
Kandungan video sehingga resolusi 4K 60p disokong dengan paparan HDR Dolby Vision dan audio Dolby Atmos. Menurut Google penggunaan Google TV Streamer adalah lebih lancar kerana pemproses 22% lebih berkuasa, memori meningkat ke 4GB RAM dan storan pula sebesar 32GB. Ini adalah peningkatan dua kali ganda RAM dan empat kali ganda pula pada storan.

Kerana kini kini di era AI, Google TV Streamer juga mempunyai sokongan Google Gemini secara terbina. Saranan kandungan, kesimpulan dan ulasan untuk kandungan yang ingin ditonton boleh diseru terus dari menu utama. Ciri lain yang agak menarik ialah alat kawalan jauh kini boleh dijejak apabila hilang menerusi ciri Find My Remote. Terdapat butang di belakang Google TV Streamer yang apabila ditekan akan mengeluarkan bunyi pada alat kawalan jauh.

Alat kawalan jauh juga diberikan sentuhan baharu. Butang laras audio kini di bahagian atas dengan butang kuasa dan bisu diubah ke bahagi an bawah. Pintasan untuk melancarkan YouTube dan Netflix turut diberikan. Di Amerika Syarikat Google TV Streamer dijual bermula September pada harga $99.99 (~RM447) dalam pilihan warna Hazel dan Porcelain.
