Hari ini PRISM+ telah melancarkan tiga televisyen dengan Google TV baharu. Yang pertama adalah TV mercu QLED bersaiz 86-inci iaitu Q86 Ultra, kemudian dua dengan skrin DLED iaitu S40 dan S43. PRISM+ turut bekerjasama dengan empat platform penstriman bagi menghiburkan pelanggan tanpa pening kepala ingin tonton apa.
PRISM+ Q86 Ultra
Televisyen ini akan menggantikan Q86-QE PRO, iaitu televisyen yang pernah kami ulas dua tahun lepas dan masih menggunakannya sebagai televisyen di studio. Seperti namanya, saiz skrin adalah 86-inci dan panel yang digunakan adalah jenis QLED yang menyokong resolusi 4K serta 120Hz. Ia turut menyokong paparan HDR10+ dengan Dolby Vision serta menawarkan beberapa mod Filmmaker. Mod Filmmaker dikatakan akan mengekalkan format kandungan asal video dengan teknologi Motion Smoothing.

PRISM+ turut menyasarkan gamer kerana menyertakan port sambungan HDMI 2.1 eARC dan mod gaming khas. TV ini adalah TV premium dengan rekaa mewah serta teknologi hebat pada harga lebih mampu milik berbanding televisyen pesaing dengan saiz yang sama. Untuk speaker ia menggunakan sistem stereo 24W.
PRISM+ S40 & S43
Dua televisyen mampu milik ini menggunakan spesifikasi yang sama cuma berbeza pada saiz panel skrin iaitu 40-inci dan 43-inci daripada panel DLED dengan resolusi FHD. Ia menyokong warna HDR10, profil warna yang jitu dan penggunaan asas yang cukup menarik sebagai televisyen pertama atau televisyen untuk rumah dengan ruangan sempit. TV ini menyokong HDMI 1.4 dan sistem speaker stereo 16W.

HARGA
Ketiga-tiga televisyen baharu PRISM+ ini sudah pun mula dijual. Setiap pembelian menawarkan langganan Viu selama setahun secara percuma, sementara untuk WeTV, mewatch dan Durioo+ langganan 3 bulan akan diberikan.
- PRISM+ Q86 Ultra – RM7,999
- PRISM+ S40 – RM1,199
- PRISM+ S43 – RM1,349
