GoPro dijangka melancarkan dua kamera aksi baharu pada 23 September 2025. Walaupun belum ada nama rasmi, satu daripada model itu dipercayai ialah GoPro Max 2. Menerusi kapsyen disediakan, GoPro turut memberi petunjuk bahawa dua jenis kamera berbeza akan diumumkan pada hari yang sama.

Walaupun imej dikongsi tidak begitu jelas namun beberapa sumber menyatakan model kedua yang bakal dilancarkan ialah GoPro Lit Hero iaitu sebuah kamera aksi bajet yang menyokong rakaman 4K. Ini sekali gus menafikan spekulasi awal bahawa ia adalah GoPro Hero 14 Black.

Sebaliknya, Lit Hero dilihat sebagai pengganti kepada model Hero yang diperkenalkan pada September lalu dengan kemaskini seperti lampu LED yang dipasang di bahagian hadapan peranti untuk kegunaan dalam keadaan gelap.
Sementara menantikan pelancaran rasmi, beberapa maklumat awal mengenai GoPro Max 2 turut telah tertiris termasuk rekaan yang lebih tahan lasak, penstabilan yang dipertingkatkan serta penggunaan cip pemprosesan baharu.

Berdasarkan ciri-ciri yang didedahkan, kedua-dua kamera ini dilihat menyasarkan segmen pengguna yang berbeza di mana Max 2 sesuai untuk rakaman 360 darjah manakala Lit Hero pula ditawarkan sebagai pilihan bajet untuk mereka yang mahukan prestasi asas dengan harga lebih berpatutan.



