
GoPro memperkenalkan MISSION 1 PRO ILS, iaitu kamera aksi moden dengan lensa boleh tukar yang menawarkan prestasi rakaman bertaraf profesional. Ia digelar sebagai kamera 8K paling kecil dan lasak di dunia, ditujukan kepada pencipta kandungan sama ada pemula mahupun profesional.

Sorotan utama kamera ini termasuk sokongan lensa Micro Four Thirds (MFT) dengan keupayaan menggunakan lensa manual seperti vintaj dan PL mount. Ia dilengkapi sensor 50MP bersaiz 1″ bersama pemproses GP3 yang dikatakan mampu memberikan prestasi baik dalam pencahayaan rendah.

Kamera ini turut menyokong rakaman 8K60, 4K240 dan gerak perlahan 1080P dengan kawalan warna profesional 10-bit, GP-Log2, HLG HDR serta kadar bit sehingga 240Mbps. Fungsi penstabilan terbina memastikan rakaman kekal lancar tanpa gimbal, manakala sistem audio menampilkan empat mikrofon dengan rakaman 32-bit float, berbilang saluran, sambungan Bluetooth 5.3 dan sokongan mikrofon melalui USB-C.

Bateri Enduro 2 berkapasiti 2150mAh digunakan mampu bertahan lebih tiga jam rakaman berterusan pada 4K30. Semua ini hadir dalam reka bentuk ringkas, tahan lasak dan kalis cuaca, mudah dipasang pada rig atau aksesori GoPro. Turut tersedia aplikasi GoPro MISSION Monitor (iOS) yang membolehkan pengguna melihat pratonton secara langsung, menggunakan fungsi fokus, corak amaran pencahayaan, pratonton warna LUT, serta mengawal kamera terus daripada iPhone atau iPad.

MISSION 1 PRO ILS ditawarkan pada harga $699.99 (~RM2,819), atau $599.99 (~RM2,417) bagi pelanggan GoPro. Ia mula dijual di GoPro.com dan kedai rasmi GoPro bermula 2 September 2026 namun setakat ini tiada maklumat mengenai ketersediaannya di pasaran Malaysia.
Sumber – GoPro Global

