
Goreng Bakso Hingga Hangus, Wanita Maut Dicekik Teman Lelaki
Misteri kehilangan seorang wanita sejak tahun lalu terungkai apabila rangka manusia dipercayai miliknya ditemukan di sebuah bilik di Bantul, Indonesia.
Menurut CNN Indonesia, mangsa dipercayai dibunuh oleh teman lelakinya yang berusia 24 tahun selepas mereka bertengkar kecil mengenai bakso pada 25 September 2024.
Ketua Unit Hubungan Masyarakat Polis Bantul, AKP I Nengah Jeffry Prana Widnyana berkata mangsa, 23, sedang memasak bakso tetapi meninggalkan dapur untuk menyapu halaman rumah pada hari kejadian.
Dalam masa sama, suspek sedang mencuci pingan sebelum menyedari makanan yang digoreng menjadi hangus.
“Perkara itu membuatkan suspek menjadi marah lalu memukul mangsa dengan menggunakan penyapu sebanyak lima kali. Dia kemudian mencekik leher mangsa menggunakan kedua-dua tangannya,” jelas beliau.
CNN Indonesia melaporkan mangsa meminta maaf dan merayu untuk dilepaskan, namun tidak diendahkan sehingga mangsa cuba melawan dengan mencakar suspek.
Mangsa akhirnya menjadi semakin lemah dan rebah ke lantai selepas dicekik dengan lebih kuat.
Difahamkan, suspek sempat memeriksa nadi mangsa dan mendapati tiada lagi degupan jantung. Wajah mangsa turut bertukar menjadi kebiruan dengan buih keluar dari mulut.
Suspek telah disabitkan kesalahan membunuh
Suspek kemudiannya cuba menyembunyikan mayat di sebuah bilik sebelum memindahkannya ke rumah sewa di Dawang, Padukuhan Manding, Bantul.
Dua minggu kemudian, bau busuk mula menyelubungi rumah sewa tersebut menyebabkan suspek berpindah ke rumah rakan di Condongcatur, Sleman.
Menurut CNN Indonesia, suspek kembali ke rumah sewanya pada 7 Disember 2024 dan mendapati tubuh mangsa telah menjadi rangka
Dalam pada itu, suspek turut memasukkan rambut, pakaian dan barang-barang peribadi mangsa ke dalam beg plastik hitam sebelum membawanya ke Condongcatur dan Kaliurang, Sleman.
Pada 20 Disember 2024, suspek membawa rangka mangsa ke sebuah rumah lalu membakar barang-barang peribadi mangsa. Namun, tindakan suspek mula menimbulkan syak apabila sering menggunakan motosikal milik mangsa tanpa kelibat wanita itu sejak sekian lama.
Menurut Jeffry, keluarga mangsa turut mengesahkan bahawa mereka sudah lama tidak menerima khabar daripadanya. Pihak polis kemudian menjalankan siasatan ke atas suspek pada 20 Mac 2025.
Susulan itu, suspek telah disabitkan kesalahan jenayah bunuh di bawah Akta 338.
Sumber: CNN Indonesia
The post Goreng Bakso Hingga Hangus, Wanita Maut Dicekik Teman Lelaki appeared first on Siakap Keli.


