
KUALA LUMPUR, 25 OKT: Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli tidak berpeluang beraksi pada perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Australia selepas penganjur membatalkan ketiga-tiga perlumbaan di Litar Phillip Island akibat cuaca buruk hari ini.
Pembatalan itu menimbulkan rasa kecewa bagi pelumba kelahiran Terengganu berusia 19 tahun itu, yang berharap untuk menimba pengalaman berharga pada musim pertamanya dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu dijadualkan memulakan perlumbaan Moto3 dari petak ke-23 selepas mencatat masa satu minit 37.169 saat pada sesi kelayakan semalam.
Bagaimanapun, hujan berterusan dan jarak penglihatan yang terhad menyebabkan helikopter perubatan tidak dapat beroperasi dengan selamat, sekali gus mendorong penganjur membatalkan perlumbaan Moto3, Moto2 dan kelas perdana MotoGP.
“Berikutan jarak penglihatan terhad yang menjejaskan operasi helikopter perubatan pada GP Australia, perlumbaan MotoGP, selain perlumbaan Moto2 dan Moto3 telah dibatalkan,” menurut kenyataan MotoGP.
Hakim Danish kini akan mengalihkan tumpuannya pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dari 30 Okt hingga 1 Nov, dengan harapan dapat mempamerkan aksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri.
Sementara itu, pelumba MotoGP melengkapkan dua pusingan perarakan di belakang kereta keselamatan sebagai tanda penghargaan kepada penonton yang hadir di litar berkenaan, sekali gus menandakan ucapan selamat tinggal kepada Litar Phillip Island menjelang perpindahan GP Australia ke Adelaide pada 2027.



![[TERKINI] Saingan Moto3 GP Australia dibatalkan gara-gara cuaca buruk](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://d3lmgsai2rsy7d.cloudfront.net/stadium/media/uploads/image/2026-10/HD.jpg)