
Program Kampung Angkat Madani merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, memperluas kemudahan asas dan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi penduduk desa melalui pelaksanaan projek berskala kecil yang berkesan serta siap tepat pada masanya.
Penganjuran pertandingan ini turut mendapat kerjasama pelbagai agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Kampar, Majlis Daerah Kampar, Pejabat Perikanan Negeri Perak,
Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar, Pejabat RELA Daerah Kampar, Pejabat Pertahanan Awam Daerah Kampar dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kota Bharu.
Program ini merupakan salah satu pengisian utama di bawah Program Kampung Angkat Madani JPA yang bertujuan memperkukuh jalinan mesra antara JPA dengan komuniti setempat, menggalakkan aktiviti riadah yang sihat dan santai, serta menyokong pelaksanaan aspirasi Malaysia Madani secara inklusif.
Hari program
Kebanyakan peserta mula hadir sekitar pukul 7 pagi untuk mendaftar dan mengambil tempat masing-masing sebelum pertandingan dimulakan.
Seramai hampir 300 penyertaan telah diterima yang terdiri daripada warga JPA, penduduk Kampung Kota Bharu dan komuniti sekitar.
Lokasi lombong yang jarang diakses ini menjadi tarikan utama peserta selain hadiah lumayan, di mana pemenang bakal membawa pulang hadiah utama iaitu RM3,000.
Para peserta mula kelihatan tidak sabar untuk memancing selepas majlis perasmian pembukaan dan pelepasan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd. Bakhari Ismail sekitar pukul 9 pagi.
Seperti telah diduga, lombong ini mempunyai populasi ikan yang banyak apabila tidak sampai beberapa minit selepas siren pelepasan, sudah ada peserta mula menaikkan hasil tangkapan dan dihantar ke meja juri pertandingan.
Kebanyakan peserta berjaya menaikkan ikan tongsan susu, rohu, kap rumput dan jelawat berskala antara 500 gram hingga 2 kilogram (kg).

Walaupun kawasan lombong ini pernah mempunyai sejarah ikan bersaiz mega, namun mungkin kehadiran ramai peserta membuatkan ikan-ikan di dalamnya agak culas memakan umpan.
Siren penamat dibunyikan pada pukul 1 petang dan pihak juri mula mengira pemarkahan bagi menentukan pemenang pertandingan.
Penyerahan hadiah pemenang telah dijalankan pada pukul 2 petang dan telah disampaikan oleh Mohd Bakhari.
Antara hadiah-hadiah lain yang ditawarkan dalam pertandingan ini adalah 30 hadiah utama, 43 hadiah cabutan bertuah dan empat hadiah misteri.
Pemenang
Juara bagi kategori ikan terberat dimenangi oleh Rosliza Daud dengan tangkapannya ikan kap rumput seberat 2.6kg, naib juara milik Azizi Hashim dengan ikan rohu (2.31kg) dan tempat ketiga, Zambri Ismail yang menaikkan ikan rohu (2.18kg).
Pemenang kategori tambahan seperti, ‘Lelaki Terpantas’ menjadi milik Sapian Sharif, manakala ‘Wanita Terpantas’ (Siti Arbi Syed Mad Zain), ‘Berat Misteri’ (Siti Zuraidah Yusof) dan ‘Ikan Unik’ (Ruhaimi Ramli).
Majlis penyampaian hadiah dan sesi bergambar tamat sekitar pukul 3 petang.
Secara kesimpulannya, rata-rata peserta berjaya menaikkan hasil tangkapan, cuma ada yang bernasib baik dan kurang bertuah untuk membawa pulang hadiah-hadiah ditawarkan.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan seperti JPA ini amat bertepatan dengan objektif yang disasarkan kerana lokasi Kampung Kota Bharu, Kampar ini kaya dengan peninggalan bekas lombong bijih timah.
Kawasan tersebut mampu dijadikan tarikan sebagai ekopelancongan berpaksikan
aktiviti memancing pada masa akan datang.
The post GP Joran rapatkan jurang antara komuniti appeared first on Kosmo Digital.



