
PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Grand Prix (GP) Malaysia berpotensi kembali dalam kalendar Formula 1 (F1) secara tetap pada masa akan datang.
Anwar berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, sebelum perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Menurut beliau, hasrat mengembalikan GP Malaysia ke Sepang perlu diteliti mengambil kira jadual perlumbaan F1 yang padat serta komitmen kontrak dengan negara penganjur sedia ada.
“Kami membincangkan prospek mengembalikan Grand Prix Malaysia dalam kalendar Formula 1 secara tetap, sekali gus menyambut hasrat peminat yang sekian lama menantikan kepulangannya ke Sepang.
“Namun, usaha ini memerlukan masa kerana penyusunan kalendar perlumbaan perlu mengambil kira jadual yang padat serta komitmen kontrak dengan negara penganjur sedia ada,” katanya.
Anwar berkata, perkara itu akan dibawa untuk dibincangkan bersama Jemaah Menteri bagi meneliti ruang dan hala tuju yang bersesuaian.
“Insya-Allah, perkara ini akan dibincangkan bersama Jemaah Menteri dengan mengambil kira kemampuan negara serta manfaatnya kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post GP Malaysia bakal kembali, Anwar jumpa bos F1 di Sepang appeared first on Kosmo Online.






