GP Malaysia: Marquez tepati ramalan tawan Sepang

1 Nov 2026 • 4:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: GP Malaysia: Marquez tepati ramalan tawan Sepang

SEPANG – Pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez mengukuhkan cengkaman untuk menjulang gelaran dunia MotoGP selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Memulakan perlumbaan dari petak kedua, pelumba Ducati itu tidak menunggu lama untuk merampas kedudukan pendahulu daripada adiknya, Alex Marquez yang bermula di petak utama seawal pusingan pertama.

Sebaik sahaja berada di depan, juara dunia tujuh kali itu terus memecut laju jenteranya dengan konsisten untuk melakar kemenangan bergaya di bumi Malaysia sekali gus meraih 25 mata maksimum.

Tempat kedua menjadi milik pelumba muda Red Bull KTM, Pedro Acosta dan adik Marc Marquez, Alex Marquez yang mewakili pasukan Gresini Racing melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Kemenangan itu turut menyaksikan Marquez melengkapkan kejayaan ketiganya dalam kelas perdana di Sepang selepas pernah menaiki podium tertinggi pada edisi 2014 dan 2018.

Image from: GP Malaysia: Marquez tepati ramalan tawan Sepang
MARQUEZ menampilkan dominasi cemerlang di Sepang, sekali gus mengutip 25 mata bersih.

Lebih bermakna, kejayaan itu hadir ketika pencabar terdekatnya, Jorge Martin tidak beraksi di Sepang susulan kecederaan, sekali gus membolehkan Marquez melebarkan jurang mata dalam perebutan kejuaraan dunia.

Kini, Marquez mengumpul 399 mata untuk mendahului Martin dengan kelebihan 44 mata, manakala Marco Bezzecchi berada di tangga ketiga dengan 332 mata, ketinggalan 67 mata di belakang pendahulu.

Marquez berkata, tumpuan penuh sejak sesi latihan bebas pertama (FP1) menjadi antara kunci kejayaannya apabila dia mengambil pendekatan lebih berani untuk menguji had kemampuan jentera sebelum menghadapi perlumbaan.

“Saya kekal fokus sepanjang hujung minggu ini. Sejak FP1, saya turun ke litar dengan pendekatan terbaik dan cuba mencari had kemampuan ketika sesi latihan kerana seperti yang saya katakan, inilah masanya untuk mengambil risiko,” katanya.

Keputusan di Sepang meletakkan Marquez dalam kedudukan cukup selesa untuk memburu gelaran dunia ketika perlumbaan MotoGP kini hanya berbaki tiga pusingan perlumbaan. -KOSMO! ONLINE

The post GP Malaysia: Marquez tepati ramalan tawan Sepang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved