IPOH – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak membantah sebarang bentuk pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) termasuk langkah terbaharu kerajaan yang membuka ruang kemasukan lepasan sijil itu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Pengerusinya, Faizal Haramaini berkata, walaupun keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu dilihat terhad kepada bidang seperti Pengajian Bahasa Cina dan Linguistik Cina ia dibimbangi menjadi titik permulaan kepada pengiktirafan lebih meluas pada masa depan.
Menurutnya, dalam konteks dasar awam sesuatu kelonggaran yang diberikan secara terhad hari ini berpotensi menjadi asas kepada tuntutan lebih besar pada masa akan datang.
"Jika hari ini dibuka ruang untuk satu jurusan esok mungkin timbul desakan supaya ia diperluaskan kepada jurusan lain pula.
"Akhirnya sedikit demi sedikit garis pemisah antara sistem pendidikan kebangsaan dan sistem peperiksaan persendirian akan menjadi semakin kabur,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Faizal berkata, sejak awal kewujudannya UEC merupakan peperiksaan persendirian bagi sekolah yang memilih berada di luar sistem pendidikan kebangsaan serta tidak tertakluk di bawah kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Katanya, sistem itu juga tidak dibina berasaskan kerangka pendidikan nasional dan tidak menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama seperti yang termaktub dalam asas pendidikan negara.
"Justeru apabila IPTA mula membuka pintu kepada lepasan UEC walaupun secara terhad ia memberi isyarat bahawa negara mula menerima peperiksaan persendirian ke dalam institusi awam.
"Keadaan ini secara tidak langsung membuka ruang kepada proses normalisasi UEC," katanya yang juga Pengerusi Biro Pendidikan GPMS Gopeng.
Tambah beliau, bantahan terhadap pengiktirafan UEC bukan bertujuan menafikan peluang pendidikan kepada pelajarnya kerana lepasan sijil itu telah lama mempunyai laluan ke universiti luar negara, kolej swasta serta sektor pekerjaan antarabangsa.
Jelas Faizal, isu sebenar ialah mempertahankan prinsip Dasar Pendidikan Negara yang berteraskan sistem arus perdana melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meneliti semula keputusan berkenaan kerana dikhuatiri memberi implikasi jangka panjang terhadap sistem pendidikan negara.
"Malaysia sudah mempunyai sistem pendidikan kebangsaan sendiri yang dibina atas semangat Perlembagaan, Bahasa Kebangsaan dan identiti nasional.
"Atas rasa tanggungjawab terhadap masa depan negara, GPMS Perak kekal dengan pendirian menolak UEC secara total,” katanya.
Pada Rabu, media melaporakan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
KPT dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.






