GPMS tolak pemansuhan AUKU, mahu reformasi berasaskan tanggungjawab

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 4:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: GPMS tolak pemansuhan AUKU, mahu reformasi berasaskan tanggungjawab

PETALING JAYA: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menolak keputusan kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) secara menyeluruh, sebaliknya menyokong pindaan bersasar bagi memperkukuh kebebasan mahasiswa tanpa menjejaskan tadbir urus institusi pendidikan tinggi.

Presidennya, Fazreen Fauzi berkata, GPMS tidak menolak kebebasan mahasiswa atau reformasi, namun kebebasan itu perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab, disiplin, etika dan akauntabiliti.

“GPMS tidak takut kepada kebebasan mahasiswa. GPMS takut apabila kebebasan diberikan tanpa pendidikan, tanpa disiplin dan tanpa akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sebarang kelemahan dalam AUKU boleh diperbaiki menerusi pindaan yang menyeluruh tanpa perlu memansuhkan keseluruhan akta yang menjadi sebahagian daripada kerangka tadbir urus institusi pendidikan tinggi negara.

Katanya, universiti bukan sekadar gelanggang kebebasan bersuara, sebaliknya institusi ilmu yang bertanggungjawab melahirkan generasi berilmu, berdisiplin, berintegriti dan mampu memimpin negara.

“Universiti mesti menjadi medan ilmu dan demokrasi, bukan medan politik kepartian,” katanya.

Fazreen berkata, mahasiswa wajar diberikan ruang lebih luas untuk berpersatuan, berbahas, menyatakan pandangan, mengkritik dasar dan mengambil bahagian dalam proses demokrasi, namun ia perlu disertai kefahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, etika kepimpinan serta tanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

Sehubungan itu, GPMS mengemukakan tiga pendirian, antaranya kerajaan tidak wajar memansuhkan AUKU secara menyeluruh sebelum kajian komprehensif dilaksanakan dan pandangan semua pihak berkepentingan diperoleh.

Selain itu, GPMS mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Reformasi AUKU yang melibatkan wakil mahasiswa, ahli akademik, alumni, badan pendidikan dan organisasi mahasiswa bagi menilai setiap peruntukan yang perlu dikekalkan, dipinda atau dimansuhkan.

GPMS turut mencadangkan pembentukan Kerangka Demokrasi dan Kebebasan Mahasiswa Nasional bagi menjamin autonomi mahasiswa, kebebasan bersuara dan berpersatuan, di samping memastikan disiplin, tadbir urus serta akauntabiliti terus terpelihara.

Fazreen berkata, kebebasan bukan bermaksud ketiadaan batas, sebaliknya kebebasan matang ialah kebebasan yang memahami batas undang-undang dan bertanggungjawab terhadap kesannya.

“Kita tidak mahu melahirkan generasi mahasiswa yang hanya berani bersuara tetapi tidak bersedia bertanggungjawab terhadap suara mereka.

“Kita mahu melahirkan mahasiswa yang berani berfikir, berani bersuara, berani berbeza pendapat dan pada masa yang sama berani memikul tanggungjawab,” katanya.

GPMS turut menyeru Kerajaan supaya tidak membuat keputusan tergesa-gesa dan memberi ruang kepada perbincangan nasional yang lebih menyeluruh sebelum sebarang keputusan pemansuhan dibuat.

“GPMS menyokong reformasi AUKU tetapi menolak pemansuhan secara membuta tuli. Kebebasan mahasiswa mesti diperkasa, bukan dilepaskan tanpa arah,” katanya. – UTUSAN

The post GPMS tolak pemansuhan AUKU, mahu reformasi berasaskan tanggungjawab appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved