Pemansuhan AUKU dan pengukuhan kebebasan akademik

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 12:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

AUKU

Pertubuhan Profesor G70 (PPG70) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 15 Ogos 2026 berhubung keputusan Kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

PPG70 juga mengambil maklum serta menyokong penuh kenyataan susulan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, bahawa pemansuhan ini telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 dan akan disusuli dengan pembentukan suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan pendidikan masa kini serta masa hadapan menerusi agenda One Higher Education Act.

Sehubungan dengan itu, PPG70 mengemukakan pendirian dan syor berikut:

• Mengukuhkan Kebebasan Akademik: Pemansuhan AUKU 1971 perlu memberikan ruang sepenuhnya kepada warga akademik dan mahasiswa untuk mengemukakan wacana kritikal, menerbitkan dapatan penyelidikan berasaskan fakta, serta bersuara tanpa dibayangi tekanan birokrasi atau tindakan tatatertib yang ketat.

• Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswa: Langkah ini hendaklah memberikan ruang kepada mahasiswa untuk bertindak sebagai wakil suara anak muda yang proaktif berhubung isu-isu semasa yang dihadapi oleh rakyat.

• Penglibatan Inklusif Kepakaran Akademik: PPG70 bersedia untuk menyumbang kepakaran dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan perundangan baharu ini bersifat progresif, futuristik, dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

PPG70 yakin bahawa pemansuhan AUKU 1971 yang diputuskan oleh Kerajaan bakal meletakkan semula universiti sebagai medan pencetus idea, inovasi, dan pembinaan bangsa yang berintegriti.

PROF. EMERITUS DATUK WAN RAMLI WAN DAUD PENGERUSI PERTUBUHAN PROFESOR G70

The post Pemansuhan AUKU dan pengukuhan kebebasan akademik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved