Jika anda biasa dengan Grab Group Order, kini anda boleh menggunakan Grab Group Ride dengan cara yang sama. Ia merupakan ciri perkongsian perjalanan di mana hos perlu mencipta Group Ride terlebih dahulu sebelum ahli lain boleh menyertai.

Ciri ini boleh diakses melalui bahagian Car → Transport → Group Ride dalam aplikasi Grab. Hos hanya perlu menetapkan lokasi ambil dan hantar serta memilih kaedah pembayaran. Buat masa ini, terdapat dua pilihan kaedah disediakan sama ada hos membayar keseluruhan tambang atau tambang dibahagi sama rata antara semua penumpang.
Untuk pilihan pembahagian sama rata, semua penumpang perlu mempunyai kaedah pembayaran nirtunai yang sah kerana bayaran akan ditolak secara automatik. Selepas hos memilih kaedah pembayaran, pautan jemputan boleh dikongsi, dan jumlah penumpang bergantung pada jenis kenderaan. Setiap ahli bebas menetapkan lokasi ambil dan hantar sendiri manakala hos akan menyusun laluan serta melengkapkan tempahan.

Perlu diingat bahawa hanya hos boleh membatalkan perjalanan. Hos juga bertanggungjawab terhadap sebarang caj tambahan seperti tol atau caj menunggu. Jika kaedah pembayaran ahli gagal, hos akan dikenakan bayaran untuk bahagian tersebut.
Selain itu, aplikasi akan memaparkan amaran kuning dalam Group Ride Summary supaya semua ahli jelas dengan jumlah tambang masing‑masing. Sepanjang perjalanan, kemas kini langsung turut tersedia untuk semua penumpang bagi memastikan setiap pihak sentiasa dimaklumkan.




