Grab Menerima Lesen Beroperasi Rentas Sempadan – Fasa Beta Melibatkan Rentas JB-SG Bermula 4 Mei

4 May 2026 • 1:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Isu teksi dan perkhidmatan seru-pandu yang beroperasi merentas sempadan tanpa kebenaran kerajaan Malaysia dan Singapura telah banyak diperkatakan baru-baru ini, dan ia merupakan satu mod pengangkutan yang nampaknya banyak digunakan oleh rakyat kedua-dua negara.

Terkini, Grab telah mengumumkan bahawa mereka telah menerima lesen operasi untuk mengendalikan operasi rentas sempadan, dan mengesahkan bahawa mereka akan memulakan fasa beta untuk perkhidmatan kenderaan seru-pandu rentas sempadan diantara bandar Johor Bahru dan Singapura dalam masa terdekat ini untuk pemandu-pemandu terpilih.

Image from: Grab Menerima Lesen Beroperasi Rentas Sempadan – Fasa Beta Melibatkan Rentas JB-SG Bermula 4 Mei

Lesen ini, yang dinamakan Cross-Border Ride-Hail Service Operator Licence (CRSOL) yang diperkenalkan dalam satu kerjasama diantara Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura membolehkan pemandu-pemandu terpilih untuk beroperasi di kedua-dua negara secara sah.

Untuk pemandu Grab di Malaysia dan Singapura, mereka boleh menerima permintaan menghantar penumpang dari bandar-bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai dan Senai ke mana-mana kawasan di Singapura dan sebaliknya.

Image from: Grab Menerima Lesen Beroperasi Rentas Sempadan – Fasa Beta Melibatkan Rentas JB-SG Bermula 4 Mei

Grab mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan ciri seru-pandu rentas sempadan ini melalui ciri Advanced Booking, yang mana pelanggan akan perlu membuat tempahan awal untuk menggunakan khidmat tersebut. Tempahan boleh dibuat sehari sehingga seminggu lebih awal daripada tarikh dan masa perjalanan.

Perkhidmatan rintis ini akan dilancarkan secara beransur-ansur, bermula 4 Mei 2026. Grab akan mengembangkan dan memperhalusi perkhidmatan ini apabila lebih banyak teksi rentas sempadan berlesen dimasukkan ke dalam perkhidmatan dan dengan maklum balas daripada pemandu dan penumpang dalam beberapa bulan akan datang.