
Jika anda duduk di sekitar kawasan Lembah Klang dan sering ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sebelum ini perkhidmatan seru-pandu Grab telah memperlihatkan harga tetap RM65.00 untuk menghantar pelanggan ke lapangan terbang tersebut tidak kira dimana mereka berada di Lembah Klang.
Terkini, Grab nampaknya telah mengemaskini polisi tersebut, dan rakan-rakan pemandu Grab nampaknya telah menerima pengumuman baru yang mengatakan bahawa harga tetap RM65 tersebut telah dimansuhkan, dan kini digantikan dengan struktur harga dinamik yang digunakan untuk perjalanan-perjalanan lain.

Menurut kenyataan tersebut, kemaskini ini dilakukan bermula hari ini, pada 11 Mei 2026 pada jam 12 tengahari ini dan akan memberi kesan terhadap harga perjalanan ke Terminal KLIA 1 dan KLIA 2.
Harga perjalanan tersebut juga nampaknya akan meningkat sekiranya rakan pemandu perlu membayar tol ataupun mereka tersangkut dalam kesesakan trafik. Apabila membaca kenyataan yang dikongsi ini, kami telah melihat bahawa harga untuk ke lapangan terbang KLIA dari pejabat kami telah meningkat ke sekurang-kurangnya RM83 sekarang.

Perkara ini dilihat membantu rakan pemandu Grab untuk mendapatkan pendapatan lebih kerana isu kenaikan harga dan penurunan bekalan petrol RON95 yang sedang berlaku sekarang.
Kami telah bertanyakan kepada pihak Grab tentang kejituan kenyataan ini, dan akan mengemaskini artikel ini sekiranya kami menerima kenyataan baru daripada mereka.




