KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat selepas hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi.
Fenomena itu sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas dan gangguan kepada pengguna jalan raya di Kuala Lumpur serta Selangor.
Menerusi aplikasi Threads, pengguna @tharsh.h berkongsi keadaan jalan di Ampang yang dinaiki air susulan hujan lebat.
“Satu Malaysia hujan ke? Ampang banjirrr,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @imalmast, turut memuat naik situasi sama di Meru, Klang.
“1.00pm 8/5/26 area Meru. Nasib baik sempat turn on mode jetski kat Myvi aku tadi,” katanya, berseloroh.
Sementara itu, pengguna @shazwawan pula berkongsi keadaan banjir di Setia Alam.
“Setia Alam depan NSK air tengah naik, jangan u-turn sangkut banjir nanti, 8 Mei 1:35pm,” katanya.

Sebuah kereta turut rosak selepas dihempap pokok tumbang di Jalan Gombak berhampiran Batu 10, susulan hujan lebat di kawasan berkenaan.
Dalam satu hantaran di Threads oleh @asalgombak, pokok tumbang itu dilaporkan menghalang laluan trafik di kedua-dua arah.
“Ada info pokok tumbang dekat Batu 10 Jalan Gombak yang menghalang laluan kedua-dua arah. Waktu hujan lebat ni, sila rancang perjalanan anda sebaiknya,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan tujuh negeri serta Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan sehingga jam 1 tengah hari tadi.
Hujan lebat dan angin kencang turut dijangka melanda Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Video kejadian boleh dilayari di https://www.facebook.com/share/r/1H4mt5Z9Ra/?mibextid=wwXIfr. - Getaran, 8 Mei 2026





