Grab peroleh lesen perkhidmatan e-hailing rentas sempadan Malaysia dan Singapura yang pertama

LocalBusiness & Finance
1 May 2026 • 9:36 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Grab peroleh lesen perkhidmatan e-hailing rentas sempadan Malaysia dan Singapura yang pertama

KUALA LUMPUR – Grab, platform e-hailing dan penghantaran terkemuka di Asia Tenggara, memproleh Lesen Pengendali Perkhidmatan E-Hailing Rentas Sempadan (CRSOL) yang pertama, membolehkannya menawarkan perkhidmatan e-hailing merentasi sempadan negara.

Lesen ini merupakan sebahagian daripada Skim Teksi Merentas Sempadan yang dipertingkatkan, yang diumumkan bersama oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura.

“Ini membolehkan Grab menyediakan perkhidmatan tempahan teksi rentas sempadan melalui aplikasi Grab,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Di bawah lesen baharu ini, Grab akan melaksanakan perkhidmatan tempahan teksi rentas sempadan antara Singapura dan beberapa kawasan terpilih di Malaysia, termasuk Johor Bahru, Iskandar Puteri, Forest City, Kulai, dan Senai.

Inisiatif yang dinamakan Cross-Border JB-SG (Beta) ini bertujuan meningkatkan pengalaman perjalanan merentasi salah satu sempadan darat paling sibuk di dunia.

Penumpang di kedua-dua negara boleh menjadualkan perjalanan dari pintu ke pintu melalui aplikasi Grab, dengan tempahan dibuka dari 12 jam sehingga tujuh hari lebih awal.

“Perintis ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 4 Mei 2026. Grab akan memperluas dan menambah baik perkhidmatan ini apabila lebih banyak teksi rentas sempadan berlesen disertakan serta berdasarkan maklum balas daripada pemandu dan penumpang dalam beberapa bulan akan datang,” tambah syarikat itu.

Bagi menyokong skim ini, pihak berkuasa Singapura dan Malaysia merancang untuk mengeluarkan 300 lesen kepada pemandu teksi di setiap negara pada tahun 2026.

Sebahagian pemandu GrabCab, armada teksi Grab yang dilancarkan pada 2025, telah pun menerima lesen daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat Malaysia.

Grab juga sedang memasukkan teksi berlesen daripada pengendali lain serta mempermudah sistem dalaman bagi membantu pemandu mengurus pendapatan dalam mata wang berbeza dan mematuhi peraturan yang berlainan.

Teksi berlesen Singapura boleh mengambil penumpang di mana-mana lokasi di Singapura dan menghantar mereka ke kawasan yang diluluskan di Malaysia.

Untuk perjalanan pulang, pengambilan penumpang dihadkan kepada tempahan awal dari Toppen Shopping Centre, Mid Valley Southkey Mall, Angsana Mal, dan Terminal Larkin Sentral.

Sebaliknya, teksi berlesen Malaysia boleh mengambil penumpang dari mana-mana lokasi yang diluluskan di Malaysia dan menghantar mereka ke mana-mana lokasi di Singapura.

Perjalanan pulang mesti ditempah lebih awal dari lokasi yang ditetapkan berhampiran Vivocity, Century Square Shopping Mall, stesen MRT Joo Koon, dan Terminal Ban San Street.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Grab, Alex Hungate, berkata syarikat itu berbangga dapat bekerjasama dengan kerajaan kedua-dua negara bagi memperkukuh mobiliti rentas sempadan.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan rakan niaga kami iaitu pemandu teksi serta penumpang dan menggunakan maklum balas daripada projek rintis ini untuk memantapkan operasi demi memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan boleh dipercayai, katanya. — 1 Mei, 2026

The post Grab peroleh lesen perkhidmatan e-hailing rentas sempadan Malaysia dan Singapura yang pertama appeared first on Scoop.