
Perkhidmatan membawa teksi merentas sempadan antara Malaysia dan Singapura sudahpun ditawarkan selama beberapa dekad. Selama ini penumpang hanya boleh diambil dan diturunkan di satu tempat sahaja di kedua-dua. Minggu ini pihak berkuasa kedua-dua negara akhirnya bersetuju mengembangkan operasi teksi rentas negara dengan penambahan lokasi pengambilan dan penurunan penumpang.

Bermula 4 Mei, pengambilan dan penurunan penumpang boleh dilakukan di empat lokasi di kedua-uda negara. Di Johor ia adalah di lokasi di bawah.
- Terminal Larkin
- Toppen Shopping Centre (IKEA Tebrau)
- Mid Valley Southkey
- Angsana Johor Bahru Mall
Sementara di Singapura pula ialah
- Terminal Ban San Street
- Century Square Shopping Mall
- MRT Joo Koon MRT
- Vivocity
Teksi daripada kedua-dua negara hanya boleh menawarkan perkhidmatan di lapan lokasi di atas. Pengambilan serta penghantaran terus dari rumah adalah tidak dibenarkan sama sekali. Kenderaan yang digunakan pula tidak boleh berusia lebih daripada 10 tahun. Bagi teksi Malaysia, kenderaan perlu dilengkapi peranti yang diperlukan di Singapura seperti sistem pembayaran tol tanpa palang ERP2.
Pada waktu ini hanya GrabCab menerima lesen operasi teksi rentas negara yang baru diumumkan ini. GrabCab akan mengenakan tambang bermula S$80 dari Singapura ke Johor dan bermula RM240 untuk teksi dari Malaysia ke Singapura.




