Grab pertingkat operasi, atasi kesesakan pengunjung F1

4 Oct 2026 • 12:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Grab pertingkat operasi, atasi kesesakan pengunjung F1
"Grab bekerjasama secara langsung dengan pihak penganjur acara untuk menyediakan lorong khas yang jelas bagi tujuan mengambil dan menghantar penumpang, dengan matlamat mengurangkan kesesakan.

SEPANG - Grab Malaysia mempertingkatkan operasi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan tempat letak kereta jangka panjang (LTCP) bagi melancarkan pergerakan ribuan pengunjung sempena hari terakhir perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain 2026 pada Ahad.

Grab Malaysia dalam kenyataan memaklumkan. pasukannya ditempatkan di kedua-dua lokasi berkenaan bagi memberi panduan kepada rakan-pemandu, membantu penumpang yang sedang menunggu, serta memastikan proses menaiki kenderaan berjalan dengan cekap.

"Grab Malaysia telah menyediakan operasi khas di LTCP bagi memastikan urusan mengambil dan menghantar penumpang e-hailing berjalan dengan lancar dan selesa.

"Bagi memastikan pengunjung perlumbaan kekal selesa dalam cuaca panas, Grab turut menyediakan kawasan menunggu berbumbung yang dilengkapi kipas penyejuk serta air minuman percuma," jelasnya.

Syarikat e-hailing itu juga turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik percuma antara SIC dan LTCP selain memperkenalkan ciri Grab Pin & Ride yang membantu mengatur barisan penumpang dan memadankan pengguna dengan pemandu yang tersedia.

Menurutnya, usaha terbabit dapat mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di kawasan pengambilan penumpang.

"Grab bekerjasama secara langsung dengan pihak penganjur acara untuk menyediakan lorong khas yang jelas bagi tujuan mengambil dan menghantar penumpang, dengan matlamat mengurangkan kesesakan.

"Dengan pelbagai acara yang berlangsung pada hujung minggu ini, pasukan operasi secara aktif memantau aliran trafik untuk menjangka peningkatan permintaan menggunakan GrabMaps," ujar kenyataan itu.

Syarikat itu juga turut menggalakkan pengunjung membuat perancangan awal, memperuntukkan masa perjalanan tambahan dan mematuhi papan tanda di lokasi terbabit.

 

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved