
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan perpaduan di bawah pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga dengan penyertaan terbaru Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bercakap pada sidang media pada hari pertamanya selepas menduduki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra di Putrajaya pada 25 Nov, Anwar berkata perkara itu disampaikan kepadanya oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.
“Ini akan meningkatkan lagi kestabilan politik negara dan membolehkan tumpuan kepada kerja-kerja untuk menaikkan martabat negara, sekali gus meningkatkan ekonomi untuk membela kepentingan rakyat,” katanya.
Pertunjukan sokongan yang kuat boleh mengelak sebarang cubaan untuk mencabar kepimpinan Pakatan Harapan dan memastikan “kestabilan politik,” saran Anwar.
Jumlah kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat ialah 148 kerusi.
Pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan dibentuk dengan penyertaan beberapa parti bagi memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata tiga komponen terbesar membentuk kerajaan perpaduan ialah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

