
ADUN Pakatan Harapan (PH) di Sabah bersetuju menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri sehingga tamat tempoh pentadbirannya pada 2025.
Ini susulan mesyuarat antara beberapa wakil rakyat PH Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Undangan Negeri.
Dalam satu kenyataan, bakal Presiden Upko dan Adun Kadamaian Ewon Benedick berkata mereka mengalu-alukan sokongan GRS untuk kerajaan perpaduan yang diketuai Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Adun PH juga menyatakan sokongan mereka kepada Hajiji dan mereka akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan agenda membangunkan Sabah dan memperjuangkan haknya dapat dicapai bersama,” katanya.
Ewon turut berterima kasih kepada Hajiji kerana bersetuju melibatkan Adun PH dalam mesyuarat jawatankuasa bertindak daerah dan jawatankuasa guna tanah daerah mulai tahun depan.
“Bagi saya dan Adun PH Sabah, kita tidak mahu terlalu banyak politik menjejaskan kestabilan Kerajaan. Di peringkat persekutuan, kita sedang membentuk kerajaan perpaduan dan pendekatan sama boleh dilaksanakan di Sabah,” katanya.
Terdahulu, Hajiji membentangkan Belanjawan Negeri Sabah bagi tahun 2023 di Dewan Undangan Negeri.
Susulan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, GRS, dua ahli Parlimen bebas dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan di Putrajaya. GRS dan BN Sabah mempunyai seramai 53 Adun, termasuk enam Adun yang dilantik, manakala PH mempunyai tujuh. Warisan mempunyai 19 Adun.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
