
Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat sokongan majoriti lebih daripada cukup daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), dakwa Setiausaha Agungnya Datuk Seri Masidi Manjun.
Justeru, beliau berkata tiada merit terhadap dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai locus standi atau hak di sisi undang-undang untuk terus kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.
Beliau berkata Hajiji dan semua bekas Adun Bersatu yang telah keluar daripada parti itu bulan lepas adalah semua ahli langsung GRS.
Menurutnya, adalah tidak wajar bagi pihak tidak bertanggungjawab membuat andaian semata-mata dengan memberikan maklumat tidak berasas berkenaan status GRS kononnya hanya parti gabungan, dan bukan sebuah parti politik.
“GRS telah didaftar dan diluluskan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dan penggunaan logo GRS telah dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan anggota parti GRS terlibat dalam proses pilihan raya.
“Ini bermakna GRS merupakan sebuah parti politik mengikut takrifan ‘parti politik’ seperti yang dinyatakan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru itu, sebarang dakwaan tentang kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor telah kehilangan ‘locus standi’ sebagai Ketua Menteri Sabah adalah dibuat secara melulu dan tanpa merit.
“Ingin ditegaskan bahawa Datuk Seri Hajiji Noor masih mempunyai sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya dalam kenyataan, Sabtu.
Masidi berkata, Perlembagaan Negeri Sabah direka untuk mewujudkan kepastian dan kestabilan politik Sabah.
“Adalah menjadi asas kepada perintah perlembagaan Sabah bahawa Tuan Yang Terutama (TYT) (Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin) tidak diheret ke kancah politik, pertikaian atau perebutan kuasa.
“Saya berharap pemimpin politik tertentu mematuhi perkara ini dan memberi penghormatan kepada TYT dan pejabat beliau. Oleh itu amalan membawa surat akuan berkanun yang ditandatangani kepada Istana baru-baru ini sebagai bukti keyakinan Adun terhadap kerajaan adalah tidak diperlukan dan harus dihentikan,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Bung Moktar yang dilihat cuba menimbulkan keraguan dan kekeliruan berhubung keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Bung Moktar berkata Hajiji tidak layak menjadi Ketua Menteri berdasarkan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah.
Malam Jumaat lepas, Umno dan BN Sabah mengumumkan mereka menarik balik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Tiga Adun Sabah daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut menyatakan pendirian bahawa Hajiji tidak lagi mendapat sokongan majoriti sebagai Ketua Menteri Sabah, lewat Jumaat lepas.
Presiden KDM Datuk Peter Anthony berkata perkara itu merujuk kepada Perlembagaan Negeri Sabah menyatakan bahawa Ketua Menteri sebagai Ketua Parti yang mendapat majoriti bilangan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Seterusnya, di bawah Perkara 7(1) Perlembagaan Negeri Sabah, Adun Sulaman Datuk Seri Hajiji Noor hendaklah meletakkan jawatan serta-merta,” katanya.
Sehubungan itu katanya, KDM menyerahkan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin untuk memutuskan pelantikan Ketua Menteri baharu berdasarkan dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Negeri Sabah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
