
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan manifesto untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang digubal bertunjangkan 13 teras yang mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor (gambar).
Ketua Menteri Sabah itu berkata teras pertama adalah memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat Sabah menerusi tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, manakala teras kedua bermatlamat memperkasakan pengurusan sumber tenaga antaranya mengambil alih pengurusan Sabah Electricity Sdn Bhd di samping meneroka lebih banyak sumber tenaga baharu atau tenaga boleh diperbaharui.
Katanya meneruskan usaha tuntutan ke atas hak-hak negeri Sabah daripada kerajaan Persekutuan berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 menjadi teras ketiga sementara memastikan kerajaan Persekutuan meningkatkan tahap keselamatan dan fasiliti pendidikan dengan menaik taraf sekolah daif, serta menambah baik kemudahan kesihatan merupakan teras keempat.
Beliau berkata teras kelima pula memberi tumpuan kepada pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat; keenam mahu menggalakkan penglibatan belia dalam arus pembangunan negara dan ketujuh memperkasakan urus tadbir perkhidmatan awam Sabah,“ katanya ketika berucap melancarkan manifesto itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Turut hadir pemimpin komponen GRS iaitu Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jefffry Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia.-Bernama

