
Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu menguasai pilihan raya negeri (PRN17) akan datang dan kembali menerajui kerajaan negeri walaupun bergerak solo tanpa kerjasama dengan pihak lain.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Petagas Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata GRS juga akan meraih sokongan majoriti pengundi susulan sentimen parti lokal yang semakin menebal di kalangan rakyat Sabah.
Menurutnya, keputusan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang memuktamadkan kerjasama bagi menghadapi PRN17 dilihat satu kelebihan kepada GRS sebagai sebuah gabungan komponen parti tempatan.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Kita sahut cabaran ini kerana sudah tiba masanya parti lokal diketengahkan kerana kita percaya hanya dengan acuan parti lokal ini, kita dapat membentuk satu kerajaan yang baik.
“Rakyat juga diyakini akan memberikan sokongan ekoran pelbagai pencapaian kerajaan GRS dalam aspek pembangunan, kebajikan, pendidikan dan sosial rakyat yang belum pernah dibuat kerajaan terdahulu.
“Justeru, saya percaya dengan acuan parti lokal yang ditunjangi GRS akan memberikan momentum dan meraih sokongan rakyat pada PRN17 ini,” katanya ketika ditemui di Mesyuarat Tahunan Berkelompok PGRS Bahagian Petagas, di sini, Sabtu.
Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Dato’ Seri Arsit Sedi yang turut merasmikan mesyuarat melibatkan Cawangan PGRS di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Putatan dan PDM Ulu Putatan.
Mohd Isquzawan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang menegaskan GRS bersedia bertanding solo jika BN dan PH Sabah sudah memuktamadkan keputusan bekerjasama pada PRN17.
Hajiji yang juga Ketua Menteri berkata, GRS juga sedia memfokuskan kerjasama dengan parti tempatan lain yang sehaluan bagi menghadapi PRN17 dan tetap dengan pendirian mahu kerajaan negeri dipimpin parti tempatan selaku tonggak utama sebagai prinsip yang perlu dikekalkan.
Sebelum ini, Seketariat Kerajaan Perpaduan mengesahkan BN dan PH akan bekerjasama pada PRN17 selepas diputuskan dalam mesyuarat di antara Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Khamis lalu.
Dalam perkembangan sama, Mohd Isquzawan memaklumkan jentera GRS di kawasan ini sudah siap sedia menghadapi PRN17 melalui beberapa gerakan oleh sayap kiri dan kanan parti itu.
Beliau berkata, antara inisiatif pihaknya itu termasuk menggerakkan jentera G10 di bawah Pergerakan Wanita PGRS Petagas bagi mengumpul data kajian sikap di kalangan pengundi di kawasan ini.
“Gerakan G10 ini turut dibantu Pergerakan Pemuda dan Beliawanis PGRS Petagas serta jentera bahagian yang bergerak aktif dari rumah ke rumah mengesan pengundi seterusnya membuat kajian sikap.
“Dianggarkan setakat ini jumlah pengundi ‘putih’ (menyokong GRS) yang dikenal pasti sebanyak 6,000 orang dan Insha Allah daripada jumlah ini akan kita tingkatkan dari masa ke semasa.
“Selaras dengan komitmen ini, kita akan menjejaki 1,000 buah rumah yang ada di kawasan ini bagi mencapai sasaran lebih separuh daripada jumlah pengundi Petagas iaitu kira-kira 18,000 pengundi.
Dalam pada itu, Mohd Isquzawan berharap GRS mengetengahkan lebih ramai calon orang muda pada PRN17 nanti terutamanya di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Petagas.
Katanya, senario terkini menunjukkan pengundi di bawah umur 40 tahun mencapai lebih 60 peratus jumlah keseluruhan pengundi di Sabah dan situasi ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh GRS.
“Sudah tiba masanya GRS menampilkan calon-calon orang muda yang berkebolehan bagi mengimbangi suara pengundi-pengundi golongan muda, pertengahan umur dan warga emas.
“Pengundi muda di Dun Petagas juga mencecah lebih 60 peratus dan yang pastinya mereka ini mahukan pemimpin atau calon muda diketengahkan di kawasan ini pada PRN17,” katanya.
